Sunday 27 October 2013

Kita Boleh Laluinya

Hari Rabu 23/10/2013 saya dijadualkan untuk membentangkan proposal saya yang bertajuk "Kesedaran Metakognitif dan Pemikiran Aras Tinggi dalam Kalangan Pelajar Biologi. Membentangkan sesuatu yang kecil di hadapan ilmuan dan cediakawan menjadikan kita yang besar ini kelihatan kecil pada pandangan mereka.
Saya merasakan diri kelihatan bodoh di hadapan para ilmuan. (Perspektif negatif yang tidak perlu diikut)

Segala pertanyaan saya jawab dengan ilmu yang sedikit menunjukkan usaha itu sebenarnya belum cukup luas dan kadang-kadang saya terkedu dengan pertanyaan tanpa jawapan selebihnya saya hanya mengangguk-nganguk menerima pendapat. Penyelia saya balik-balik memandang saya dengan harapan saya mampu menjawab tapi jawapan saya menghampakan.

Dengan kata lain "I look stupid". Terasa sungguh ianya pengalaman yang memalukan. Kalau la saya mempunyai kuasa memadam ingatan seperti dalam movie "Men In Black" tu ingin sekali saya memadam ingatan pada hari itu. Tapi itulah sebenarnya pengalaman yang mematangkan dan menambah kedewasaan dalam meneroka ilmu allah yang luas ini.

Menyiapkan proposal untuk melengkapkan tugasan tesis memenuhi keperluan ijazah sarjana bukan tugas mudah. Usaha yang berlipat-lipat kali ganda diperlukan walaupun sesetengah orang melakukan dengan cara yang mudah tapi bukan untuk sesetengah yang lainnya.. Saya mungkin sesetengah orang yang sukar itu.

Seminggu sebelum menghantar proposal saya tidak cukup tidur berjaga sepanjang malam, tidur 3-4 jam di siang hari dan mula menghadap lappy sepanjang masa. Kadang-kadang terasa give up ingin menyerahkan kalah. Tapi saya bukan orang yang sebegitu saya mesti lakukannya walaupun tidak sempurna. Proposal ini harus dihantar tepat pada masanya.

Seperti yang saya jangka proposal itu tidak sempurna banyak kesilapan di sana sini.  Kecewa dan kesal bersarang di dalam minda dan hati  saya kenapa saya masih melakukan kesilapan pada sesuatu yang besar seperti ini. Tapi saya redha saya harus terima kesilapan diri. Mungkin ini caranya allah menunjukkan jalan. Belajar dari kesilapan dan melakukan yang lebih baik selepas ini dan berusaha lagi dan lagi.

Mempersiapkan diri untuk membentangkan proposal ini satu cerita yang lain pula. Kesukarannya lebih berganda-ganda. Bukan sahaja perlu memahami jalan cerita kajian malah kena juga menambah ilmu di dada dengan  rujukan itu dan ini mahupun pelbagai analisis yang berselirat. Malam dan siang saya adalah sama. Tidur saya, bila perlu dan kopi peneman setia. Sahabat-sahabat saya tempat saya bersandar apabila saya rasa ingin terjatuh. Saya pasti tangan-tangan mereka akan mengapai saya dengan segera.

Sahabat-sahabat yang sentiasa ada memberi sokongan

Saya tidak tidur sepanjang malam sebelum pembentangan, saya siap awal dan awal ke Fakulti. Sahabat-sahabat saya setia mengiring langkah saya, memberi sokongan padu dan mengambil pangalaman saya sebagai pengajaran buat mereka. Dalam debaran dan perasaan berkecamuk saya terpaksa laluinya. Akhirnya saya tersenyum lega selepas berjaya memalukan diri di hadapan Professor dan Dr-Dr yang bijaksana. Sungguh saya akui ilmu saya sangat kecil. Syukur allah permudahkan segalanya buat saya. Allah dengar doa saya dan makbulkan doa ibu saya.  Alhamdulilah.

Lulus proposal saya dengan pindaan. Saya menarik nafas lega. Akhir saya berjaya meneruskan kajian ini usaha saya berbulan-bulan sebelum ini berbaloi dan saya terasa kasih sayang allah buat diri saya walaupun saya hanya hambanya yang alpa dan leka. Ampuniku ya allah.

Saya orang besar yang kelihatan kerdil dengan ilmu di hadapan
para ilmuan dan cendiakawan


Ketika saya hampir tidak kuat dan lemah, hilang ketabahan dan motivasi diri dalam cabaran melalui semua ini saya selalu mengingatkan diri saya, saya pernah melalui cabaran yang sukar sebelum ini. Saya berjaya laluinya. Kenapa bukan yang ini. Saya melihat diri saya ketika zaman kanak-kanak. Saya mula pandai membaca apabila saya di darjah tiga, saya melihat diri saya yang terpinggir dengan raka-rakan yang lebih pandai dan bijaksana. Tetapi saya juga melihat diri saya yang cuba bertatih dan berusaha walaupun lambat sehingga saya mampu membaca novel dan majalah ketika di darjah 4.  Saya melalui UPSR yang saya tidak tahu kepentingan kejayaannya. Tetapi saya tetap melangkah ke sekolah.

Seusia remaja kepentingan kejayaan saya pandang hambar apatah lagi kejayaan dalam pelajaran begitu sunyi dalam diri saya.  Dipenghujung tahun memasuki gerbang SPM saya tersedar bahawa saya perlu berjaya dan ke universiti. Untuk jadi apa?  saya tidak tahu, apa yang saya tahu saya ingin lalui pengalaman meneroka ilmu di universiti dan memakai topi empat segi dipenghujungnya. Saya usahakan kejayaan dalam SPM walaupun permulaannya yang lambat, saya tabahkan diri untuk bangun malam solat hajat dan belajar, saya kuatkan diri untuk mandi dalam kesejukan pagi supaya saya segar menelaah pelajaran. Saya laluinya dan berjaya laluinya malah keputusan saya lebih baik dari rakan sekelas di darjah 3 yang boleh membaca sejak dari darjah 1.

Berjaya ke matrikulasi UKM bukan sesuatu yang perlu dibanggakan. Saya sedar saya tidak cerdik, otak saya kurang bijaksana. Saya lambat dalam menaakul dan mengingat. Tetapi cerita kekuatan saya mengharungi SPM dengan kejayaan, menyakinkan saya yang  saya boleh lalui yang ini. Matrikulasi memang sukar buat saya dan mungkin bukan untuk saya kalau nak dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang speaking macam air mengalir atau dari sekolah berasrama terkenal di Malaysia. Saya mungkin manusia yang bernasib baik di izinkan allah berada di sini. Lulus cukup makan di sini satu anugerah terindah buat saya. Pedulilah apa orang nak kata yang penting saya mampu meletakkan diri saya di UKM. Sekurang-kurangnya saya berjaya melaluinya walaupun tidak cemerlang.

Di UKM semester pertama cukup memberi pengajaran. Di tikar sejadah berderai airmata saya mengadu pada allah tentang kebodohan, kealpaan, kelekaan dan kelalaian  diri sendiri terhadap anugerah yang telah diberi. Saya gagal semester pertama dengan pointer terburuk 1.83. Kalau sem seterusnya keputusan saya masih begitu saya pasti di tendang dr Universiti. Menerima surat amaran dari bahagian biasiswa mengingatkan saya, saya perlu bangun. Saya pandang kebelakang, mengingat semula kesusahan yang telah saya laluinya sehingga saya berjaya menjadi siswi di UKM. Saya tidak akan membiarkan segalanya sia-sia. Pengajaran itu saya simpan kemas dimemori hati, saya pegang kejap di dalam minda dan  saya takkan mengulanginya. Alhamdulilah saya laluinya sehingga akhir sem dengan pointer yang semakin baik dari satu sem ke satu sem. Sehinggalah saya tersenyum puas bersama topi empat segi dan sahabat-sahabat di hari konvokensyen. Ya saya telah laluinya..

Hari ini ketika saya menghadapi kesukaran, hilang ketabahan dan motivasi diri bukan sekali saya memandang, menganalisis, meneroka semula memori dan  kesusahan dahulu untuk saya  menjadi kuat semula. Malah selalu saya mengingatkan diri saya "Saya telah melaluinya". Melalui semua kesukaran yang kadang-kadang jauh lebih sukar dari ini. Saya telah melaluinya kenapa bukan kali ini, pasti kali ini lebih boleh dan lebih kuat. Apatah lagi selepas melalui pengalaman kedewasaan yang rencam dan pelbagai dalam dunia pekerjaan dan kehidupan.

Saya pasti begitu juga dengan orang lain, anak-anak didik saya, sahabat-sahabat saya pasti boleh melalui apa sahaja tanpa mengenal erti putus asa. Kerana setiap manusia yang ingin berjaya tidak pernah tidak berusaha. Jika dulu kita boleh laluinya pasti sekarang kita lebih mampu mengejar kejayaan dalam hidup yang kita kehendaki. Dalam menuntut ilmu usaha doa dan tawakal pastinya perlu mengiringi langkah kita. Yakin allah sentiasa bersama kita dalam pekerjaan baik yang kita usahakan.

Benarlah kata para ulama. ILMU ITU HARTA YANG MENJAGA KITA. Kerana ilmu yang banyak akan semakin mendekatkan kita kepada allah. Semakin sukar ilmu itu diperolehi semakin kita berusaha, berdoa dan bertawakal kepada allah untuk memperolehinya dan itulah yang menjaga gerak langkah kita.

Yakinlah kita mampu melalui apa sahaja cabaran yang mendatang. Jangan takut untuk melangkah Allah ada bersama kita. Selalu saya menginggatkan sahabat-sahabat saya bukan mudah seseorang itu ingin meletakkan tesisnya di rak di dalam library universiti. Pastinya dia pernah melalui perjalanan yang sukar. Kita juga begitu.. tidak perlu pandai untuk menuntut ilmu yang penting ketabahan dan usaha sentiasa ada bersama kita. Pasti semuanya kita mampu laluinya.





No comments:

Post a Comment