Monday 9 December 2013

Musim Buah


Musim buah di kampung saya adalah sesuatu yang menarik untuk untuk diceritakan. Saya bukanlah pemilik dusun durian mahupun mempunyai kebun buah-buahan dikeliling rumah. Di rumah saya adalah sepohon pokok rambutan yang baru belajar berbuah. Itupun kami sekeluarga sangat excited menunggu pokok rambutan berbuah sulung yang jumlah buahnya boleh dikira di tepi rumah sehingga tidak sabar ingin memetiknya walaupun masih kekuningan belum benar-benar masak ranum di pokok. Kata orang Sabah "tidak kesabaran". Itulah penangan orang yang tidak mempunyai pokok buah-buahan. 
Pokok Rambutan berbuah sulung di tepi rumah yang tidak sabar-sabar ingin dipetik.
Maklumlah pengalaman pertama memetik buah rambutan milik sendiri

Lain pula ceritanya jiran-jiran saya yang sudah lama menetap di sekitar kawasan rumah saya itu. Pokok-pokok rambutan mereka sudah besar dan berbuah lebat, bukan sahaja pokok rambutan malah pokok mangga, pulasan dan langsat juga ada. Musim buah kali ini memang rezeki allah bagi kepada pemilik-pemilik pokok ini lebih murah dari selalu. Semua pokok buah-buahan  jiran-jiran kami berbuah lebat malah pokok durian di simpang jalan masuk ke kampung kami yang tinggi melonjang juga berbuah lebat. Pokok durian itu tiada pemiliknya, pada waktu petang ramai kanak-kanak yang berkumpul di simpang itu menunggu buah durian jatuh. Ini barulah betul-betul dikatakan mendapat 'durian runtuh'. 

Berbalik kepada cerita pokok buah-buahan jiran saya yang berbuah lebat sampai naik geram menengoknya. Sehinggakan bila saya memandu kereta masuk ke kawasan kampung saya pasti saya akan memandu perlahan untuk melihat pemandangan pokok rambutan berbuah lebat dan kebanyakkan sudah masak ranum. Sungguh mengoda. Sepokok pun boleh dapat selori dan  boleh dimakan sekampung. Jiran berhampiran rumah saya pokok mangganya berbuah lebat dan sudah masak ranum dipokok tidak diambil. Geram saya menengoknya sehingga ibu saya mengetuk pintu rumah mereka meminta untuk membeli buah mangga yang sudah kekuningan dan banyak jatuh di tanah. Bahasa berjiran pastinya akan menyataka "ambiklah..ambiklah.. kalau nak lagi ambik saje, kami tak makan sangat". Fikir saya kenapalah tidak dipetik dan disedekahkan kalau begitu. Bukankah membazir saje. Kalau tidak mahu dimakan buah itu bagus ditampal di pokok itu "sape nak, ambiklah.. saya sedekah". Pasti sekejap jer habis, kanak-kanak yang lalu lalang meragutnya yang selama ini hanya mampu menjeling-jeling sahaja.  Mungkin itulah sifat pemilik pokok buahan. Kalau kita tidak ada bukan main lagi kita menilik orang punya tapi kalau sudah diberi rezeki begitu,  kita pulak tidak mengendahkannya. Lumrah alam mungkin.

Saya pula memang selalu bercita-cita memiliki dusun buah-buahan dan mengimpikan untuk membuat jamuan buah-buahan di rumah saya untuk dimakan sekampung bersama-sama, bersedekah semahunya pada sahabat-sahabat saya, sedara mara, jiran tetanga di surau dan masjid. Tapi malangnya saya bukan pemilik rezeki itu. Mungkin saya ditakdirkan allah sebagai orang yang menjeling-jeling itu..

Tapi nasib saya baik sedikit kerana saya mempunyai sahabat yang sungguh dermawan. Sanggup berkongsi kebun buah-buahannya dengan saya. Disekeliling rumah sahabat saya Aziati dipenuhi dengan pokok buah- buahan seanekanya. Durian, manggis, rambutan, langsat pulasan cempedak semua ada. Bila tiba musim buah saya paling seronok ke rumah Aziati mengendeng buah-buahannya. Bila pulang pasti penuh bonet kereta saya dengan buah-buahan. Musim durian saya paling suka, makan durian semahunya, bawa pulang lagi dan esok datang lagi.. Dasar tak tahu malu, nak buat macam kita takde. Kalau saya tiada di kampung Aziati pasti menghantar durian ke rumah saya. Kami sekeluarga peminat buah-buahan tempatan termasuk lah anak-anak buah yang masih kecil. Semuanya hantu durian.

Anak-anak buah yang suka makan durian

Seronok petik sendiri buah langsat di rumah Aziati
Langsat 
Sahabat saya Aziati sekeluarga memang dermawan, mereka sekeluarga jarang ingin menjual buah-buahan mereka kepada sesiapa, semuanya disedekahkan kepada jiran dan saudara mara termasuklah saya. Saya kalau Aziati tidak mahu sedekah kepada saya pun, saya datang minta sendiri, siap petik sendiri lagi. Itulah penangan musim buah-buahan dengan saya. Seronok menumpang hasil kebun orang lain. Maklumlah kita tidak ade. 
Manggis
Pulasan
Terima kasihlah pada sahabat saya Aziati kerana bersedekah dan berkongsi musim buah ini dengan saya. Musim kali ini puas saya makan buah-buahan. Durian, rambutan, pulasan, langsat berkilo-kilo saya melantak di rumah Aziati tak cukup dengan itu saya angkut bawak balik  rumah dan ada yang dipanjangkan sedekahnya kepada sahabat-sahabat saya yang lain alhamdulilah dapat rezeki allah dari orang lain. Semoga pahalanya buat sahabat saya Aziati dan keluarganya berganda-ganda, bertambah lagi rezeki  dan musim akan datang pokok-pokok buah mereka berbuah lebat dan  lebih banyak lagi. Inshaallah.


Durian dan Pulasan penuh sebonet yang saya angkut dari rumah Aziati.
Terima Kasih banyak Sahabat


Begitulah aturan allah cukup indah. Orang ini diberi rezeki begitu dan orang itu diberi rezeki begini. Cuma kita perlu mengingatkan diri kita bukan semua rezeki yang allah bagi itu milik kita, ada rezeki orang lain juga disitu. Seharusnya tidak perlulah kita menjadi orang yang kufur nikmat tidak menggunakan rezeki yang allah beri sebaik mungkin. Musim buah nampak macam seronok untuk kita hayati apatah lagi kita pemilik dusun atau pemilik pokok buah buahan di halaman rumah kita. Tanpa kita sedari adakah jiran kita sebelah menyebelah telah merasa buah yang bergayutan di halaman rumah kita atau kita biarkan mereka memendam rasa. Sudahkah kita menyedekahkan buah-buahan di halaman rumah kita pada kanak-kanak yang lalu lalang yang sudah terbit perasaan ingin mencuri kerana geramkan dengan pemandangan buah-buahan yang masak ranum. Tapi kadang-kadangkan kita lebih rela buah-buahan itu jatuh ke tanah dari diambil orang. Itu lah beza pemilik rezeki dan bukan pemilik rezeki. Tetapi kalau kita sedar musim buah adalah anugerah rezeki dari allah ke atas tanaman kita dan masa kita untuk mengumpul pahala bersedekah dengan banyaknya tanpa mengeluarkan modal apapun. Ganjarannya tetap sama. Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan  orang yang kufur nikmat. Allahualam.



No comments:

Post a Comment